ASSALAMUALAIKUM...

ASSALAMUALAIKUM...
selamat melayari laman ini

Sabtu, 11 April 2009

Luaskan fungsi Majalah Sekolah -Malaysiakini

Majalah yang diterbitkan di sekolah-sekolah wajar dinilai oleh semua pihak bukan di kalangan para pelajar dan ibu bapa sahaja.Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kurikulum (Bahasa) Pejabat Pelajaran daerah, Ejazi Yahya berkata, majalah sekolah yang dihasilkan dengan kerjasama para pelajar dan guru mampu memupuk budaya penulisan yang sihat.

''Bakat yang ada di peringkat awal ini sepatutnya dipupuk dan dibaja, tetapi apa yang berlaku ialah bakat ini tenggelam sebaik sahaja mereka meninggalkan bangku sekolah," katanya.Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Lembaga Pembangun Sastera (Lepas) Perak kali ke-57 di di sini hari ini.

Kata beliau, menerusi penglibatan masyarakat yang lebih luas, para pelajar pasti akan lebih berminat untuk menghasilkan penulisan yang lebih menarik.''Semua pihak wajar memberi dorongan supaya bakat penulisan di kalangan mereka tidak terhenti dan seharusnya mendapat asuhan yang betul," katanya.

Dalam masa sama, kata Ejazi, para pelajar juga digalakkan menyertai pelbagai persatuan kerana ia mampu menonjolkan bakat kepimpinan mereka.

Sementara itu, Ketua Satu Lepas, Datuk Khairudin Arshad berkata, satu pertandingan puisi di kalangan pelajar sekolah akan diadakan pada l Ogos ini bertempat di Arena Square dekat sini.

''Program ini diadakan bagi mencungkil bakat muda selain menggalakkan mereka mencintai puisi yang dilihat perlu diberi perhatian," katanya

source : Utusan Malaysia

Edu Drama

Program EduDrama ADaP-Utusan Malaysia dapat membantu menghidupkan semula budaya berdrama di peringkat sekolah yang semakin jarang dipraktikkan. Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Noh Omar berkata, jika drama yang dipersembahkan diselitkan dengan unsur-unsur sejarah khususnya berkaitan hak dan kedaulatan orang Melayu ia dengan sendirinya dapat memupuk semangat kesetiaan kepada raja dan negara.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, program ini juga dapat dijadikan alat memupuk rasa hormat-menghormati di kalangan pelajar berbilang kaum dan agama serta menjadikan mereka lebih berani dan bijak berinteraksi.

''Jadi saya mencadangkan agar drama-drama yang bakal dipertandingkan diselitkan dengan unsur-unsur sejarah seperti kisah tokoh-tokoh pejuang bangsa. ''Contohnya Hang Tuah kerana ia dapat mendidik pelajar yang mengambil bahagian dan yang menjadi penonton untuk menghayati konsep kesetiaan kepada raja dan akibat menjadi penderhaka," kata beliau. Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tajaan EduDrama Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia 2009 Peringkat Parlimen Tanjung Karang di sini hari ini.

Tajaan itu disumbangkan oleh Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad (KoPutri) yang bernilai RM25,000. Hadir sama Pengurus Unit Pendidikan Utusan, Wahid Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hikmat Insan Malaysia (Yahim), Dr. Shuhaizam Zain dan Setiausaha KoPutri, Sharifah Aminah Al-Habshee. Menurut Noh lagi, program EduDrama ini dapat mencungkil bakat para pelajar yang berminat dengan bidang seni dan mereka ini boleh dibantu untuk meneruskan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi.

Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KoPutri yang menaja EduDrama Utusan Malaysia dan juga kepada Yahim dan Utusan Malaysia yang menganjurkan program ini di Tanjong Karang. Dalam pada itu, Noh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) mencadangkan supaya program EduDrama Utusan Malaysia turut diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.

''Jika ia dijalankan kelak, saya cadangkan agar mereka memberi penekanan kepada sejarah bagaimana dan kenapa Institut Pembangunan Luar Bandar dan Industri (RIDA) dan seterusnya Mara ditubuhkan. ''Ia akan dapat memberi kesedaran kepada para pelajar MRSM khususnya pelajar Melayu agar tidak malu untuk memperkatakan tentang keistimewaan bangsa mereka sendiri," kata beliau lagi. Sementara itu, Wahid ketika ditemui selepas majlis penyerahan berkata, Kementerian Pelajaran telah bersetuju menjadikan EduDrama sebagai acara tahunan kementerian dan mengisi kalendar sekolah-sekolah seluruh negara. ''Persetujuan itu dicapai pada mesyuarat yang diadakan baru-baru ini," katanya.

Biasiswa ke Universiti AlAzhar - Malaysiakini

Amanah Raya Berhad (ARB) dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menawarkan biasiswa kepada pelajar Islam yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir dalam bidang Pengajian Islam. Menurut kenyataan ARB di sini hari ini, permohonan terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang beragama Islam yang memenuhi syarat kelayakan iaitu memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Syariah, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan subjek berkaitan. Latar belakang dan sosio ekonomi keluarga seperti anak yatim, ibu bapa berpendapatan rendah dan jumlah adik-beradik juga diambil kira dalam proses pemilihan ini.

Pelajar yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan melalui portal web www.amanahraya.com.my atau menghubungi talian 03-20557373/625 untuk maklumat lanjut. Tarikh tutup permohonan adalah pada 17 April ini.