Oleh merupakan kata sendi nama. Biasanya selepas kata sendi nama hendaklah diikuti dengan kata nama.
Contoh:
- Majlis Bicara Bahasa itu dirasmikan oleh Tun Ismail.
- Pokok bunga mawar itu dirosakkan oleh budak-budak nakal itu.
- Lukisan itu dilukis olehnya.
Kekata / Frasa selepas ’ oleh’ dalam ayat diatas, iaitu Tun Ismail, budak-budak nakal itu dan nya merupakan kata / frasa nama.
Kekata ’kerana’ merupakan kata hubung. Jadi ’kerana’ tidak boleh diikuti selepas ’oleh’. Jadi tidak boleh wujud ’oleh kerana’.
’Sebab’ boleh menjadi kata hubung dan kata nama.
Contoh ayat:
- Budak itu menangis sebab dipukul ibunya. (kata hubung)
- Berikan sebab yang munasabah kelewatan awak hari ini. (kata nama)
Contoh ayat:
- Oleh sebab tidak mempunyai wang, dia tidak mengikuti wisata ilmu ke Thailand.
- Oleh sebab sering berlaku kemalangan, jalan itu dijadikan jalan sehala.
- Dia tidak mengikuti latihan bola sepak oleh sebab hujan.
- Pemain skuasy itu tewas oleh sebab kurang latihan
- Dia mendapat keputusan yang cemerlang oleh sebab ketekunannya.